uMuR SaYa

Tuesday, July 27, 2010

Hadiah dari wan





Sebelum arwah wan kembali ke rahmatullah, beliau sempat menghadiahkan saya 2 pasang baju. Saiznya agak besar. Hanya ketika saya berusia 8 bulan, barulah saya dapat memakainya. Terima kasih wan..

Monday, July 26, 2010

Stok pampers saya





Catatan : Memandangkan jualan 'sale' , borong terus sampai 8 pek. Harga normal berlainan mengikut pasaraya adalah seperti berikut:

The Store : RM40.90
TF Value Mart : RM36.90 (kadang-kadang RM34.90)
Billion : RM36.90
Giant : RM42.99

Harga baru-baru ini di pasaraya Billion ialah RM29.89 . Apalagi borong teruss...

Sunday, July 25, 2010

Mengaji bersama papa



Cita-cita saya ialah menjadi seorang al-hafiz. Kata papa, biarlah dia terlepas peluang untuk itu, tetapi anaknya insya-Allah, jika diizinkan Allah akan dihantar ke sekolah tahfiz. Tak sabar saya nak besar...mahu menjadi orang yang 'menjaga' al-Quran (maksud hafiz@hafaz ialah menjaga). Ya Tuhan, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang menjunjung dustur al-Quran. Aminnn...

Saturday, July 24, 2010

Keluarga saya di Teluk Intan


ni la Tok Bab. yang kanan tu Ucu Nurul.

Catatan : Ketika berusia 46 hari, saya mula dihantar ke rumah Tok Bab memandangkan mama mula kembali bertugas di sekolahnya. Mama dan papa memanggilnya Mak Bab. Dia membahasakan dirinya dengan saya sebagai Tok Bab. Dialah tempat saya bermanja dan menumpang kasih sepeninggalan mama dan papa pergi bekerja. Terima kasih tok. Jasa tok menjaga saya walaupun tidak lama tak mungkin saya lupakan. Ucu Nurul khabarnya baru-baru ni keputusan trial UPSR, ucu dapat 5A. wah...Tahniah Ucu, dan semoga ucu mendapat result yang sama ketika peperiksaan sebenar nanti. Caiyok!!


Ini pula Ibu Sariyah

Catatan : Masuk bulan ke-3 mama bekerja, Ibu Sariyah pula menjaga saya. Tok Bab menyatakan beliau kerap ke hospital dan memerlukan rawatan susulan. Jadi, saya diasuh pula Ibu Sariyah. Tiap-tiap hari, seawal 6.55 am mama dan papa yang menaiki kenderaan yang sama ke tempat kerja akan menghantar saya ke rumah ibu. Saya akan dijemput semula jam 2.15pm @ 2.50pm .Begitulah rutin kehidupan saya setiap hari..

Friday, July 23, 2010

video saya


1. merangkak mencari mama


2. mana mama saya


3. lagu favorite saya

Thursday, July 22, 2010

umur 8 bulan


bersama sepupu saya abang Amirul Hakim (baju saya disponsor oleh makngah Sabrina) Tq Makngah :)


Hadiah dari makngah yang dibeli di i-city Shah Alam


amalkan gaya hidup sihat


duduk Tahiyat Awal

Umur : 8 bulan
Berat : 8.4 kg
Panjang : tidak diukur
Lilitan kepala : tidak diukur
Imunisasi : tiada
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + bubur kanji campur sup ayam + air masak
kemahiran terkini : mengejar (dalam posisi merangkak), memanjat dan berdiri, mula mengenali orang (taknak dukung dengan sembarangan orang) , duduk tahiyat awal
hobi : mandi @ main air, mencari sarang semut dan menepuknya, bermain mainan
Pengalaman manis : ??
Pengalaman pahit : selesema (hingus meleleh)

Catatan : Badan saya sedikit susut, tidak semontel dulu. Kebelakangan ini, saya kurang berselera untuk makan. Sebenarnya saya agak jemu memakan bubur nasi, jadi bila mama tukar hidangan kepada bubur kanji bersama sup ayam, wow!! dua mangkuk abis...

Wednesday, July 21, 2010

umur 7 bulan


comel tak??


aik, mana gambar saya, ni yang tak puas hati ni


oi encik kuman, nape masuk umah saya ha??


papa, bila kita nak naik keta kabel Langkawi plak?

Umur : 7 bulan
Berat : tidak diketahui (sebab tak pergi klinik)
Panjang : tidak diketahui
Lilitan kepala : tidak diketahui
Imunisasi : tiada
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + bubur nasi
kemahiran terkini : aktif merangkak ke hulu ke hilir, menyebut ma...ma dan pa..pa
hobi : mencari kuman atas lantai, melihat potret gambar dalam almari, menonton rancangan Indahnya Iman (astro oasis channel 106)
Pengalaman manis : melancong ke Genting Highland (naik keta kabel)
Pengalaman pahit : jatuh katil....waaa!!!

Catatan : Gigi saya mulai tumbuh sebatang lagi. Maknanya dah ada 2 sekarang. Setelah berlatih pumping tiap2 hari, stamina saya sudah cukup kuat dan alhmamdulillah, saya dah boleh merangkak. Tapi satu pagi(awal subuh) saya yang tidur diatas katil diapit mama dan papa, merangkak ke belakang (masuk gear reverse) dan terjatuh dari katil. Uwaaa!!...sepantas kilat papa menyambar saya dan memeluk sambil memujuk. Mujur saya tak apa2. Syukur ya tuhan, semenjak itu mama dan papa tidak lagi tidur di atas katil. Kami 3 beranak tidur di ruang tamu beralaskan toto. Tapi mama mengadu sakit belakang tidur atas lantai...camana tu..

Pada 17/6/2010 , kami sekeluarga balik ke Pahang. Turut bersama ialah sepupu saya kakak Nurul dan kakak Nabila. Perjalanan yang sememangnya melalui jalan ke Genting Highland dimanfaatkan sepenuhnya dengan singgah bertamu di Genting Highland. Pertama kali saya naik keta kabel atau nama saintifiknya Gondola...bestnye!!

Tuesday, July 20, 2010

umur 6 bulan


menaiki beca ke Masjid Muhammadiyah Kota Bharu


bergambar bersama ultraman bantut :)


..18..19..iyarh...20. (aksi 18SG dipertontonkan di rumah Maktih ET (kakak mama) di Rawang


hari pertama menaiki stroller dan bersiar-siar di taman Jalan Speedy, Teluk Intan



Umur : 6 bulan
Berat : 8.0 kg
Panjang : 67 cm
Lilitan kepala : 46 cm
Imunisasi : Hepatitis B
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + bubur nasi
kemahiran terkini : pumping (kadang2 sebelah tangan je), duduk tegak, menyebut ma...ma dan pa..pa
hobi : bersiar-siar menaiki stroller dan walker
Pengalaman manis : Melancong ke Kelantan dan Terengganu

Catatan : Sempena cuti persekolahan penggal pertama, mama mengikuti rombongan panitia Fizik sekolahnya ke negeri Kelantan dan Terengganu. Saya dan papa turut serta bersama-sama 30 pelajar dan 2 orang guru pengiring yang lain menaiki bas sekolah mama. Kami berasa sungguh seronok dan teruja, lebih2 lagi mama dan saya buat kali pertama bertandang ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Kami ke KIST (Kolej Islam Sains dan Teknologi) di Bachok, Pasar Siti Khadijah, Muzium di-Raja Kelantan, Wakaf Che Yeh dll. Bestnye...rasa nak pergi lagi.

Mama dan papa turut membelikan saya walker dan stroller. Hampir saban petang, sejurus papa selesai mengajar anak2 jiran mengaji al-Quran, papa akan menolak stroller membawa saya bersiar-siar di kawasan kejiranan. Haa...ada rumah berdekatan di situ yang membela angsa 2 ekor dalam reban. Bising betul jika saya lalu berdekatan dengan mereka. Ang!!! Ang!!

Monday, July 19, 2010

umur 5 bulan


mengaji bersama papa






Umur : 5 bulan
Berat : 8 kg (turun 0.2 kg)
Panjang : tidak diukur
Lilitan kepala : tidak diukur
Imunisasi : D-Tap/Hib + IPV
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + bubur nasi
kemahiran terkini : menghabiskan semangkuk bubur dalam sekali hidangan
hobi : makan bubur nasi, bersiar-siar di luar rumah
pengalaman manis : menghadiri gathering Family Day di Pahang

Catatan : Gigi saya mulai tumbuh sebatang di sebelah bawah. Tangan, jari dan bahu papa serta mama antara tempat saya menguji ketahanan gigi tersebut. Aduuh!! jerit papa dan mama....hehe.

Sunday, July 18, 2010

umur 4 bulan







Umur : 4 bulan
Berat : 8.2 kg
Panjang : tidak diukur
Lilitan kepala : tidak diukur
Imunisasi : tiada suntikan
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + susu formula
kemahiran terkini : tidur meniarap, mencapai apa sahaja objek dalam jangkauan dan menyuapnya dalam mulut, menghisap ibu jari kaki
hobi : suka berdukung dan bergayut, bersiar-siar dalam pasaraya, tak suka kena letak

Catatan : Dalam jangkamasa ini, saya pernah demam dan suhu melebihi 38°C. Dengan menggunakan alat jangkasuhu yang dibeli mama 2 bulan lalu, saya diperiksa setiap jam sekiranya suhu kepanasan badan saya terus meningkat. Mama dan papa akhirnya membawa saya ke klinik Joythi di pekan Teluk Intan. Doktor memberi ubat makan berwarna merah jambu. Ubat cecair yang agak manis itu begitu susah untuk ditelan dan hampir-hampir saya memuntahkannya kembali. Mujur mama pandai memujuk saya. Alhamdulillah, demam yang saya alami tidak berpanjangan. Waktu malam, kebiasaannya saya agak susah untuk tidur. Papa selalu membawa saya bersiar-siar di pasaraya TF. kadangkala di The Store atau Billion. Agaknya jurujual2 di sana dah kenal saya hehe...Bila sampai di rumah, barulah saya lena dan tidak terjaga waktu tengah malam.

Saturday, July 17, 2010

umur 3 bulan







Umur : 3 bulan
Berat : 7.5 kg
Panjang : tidak diukur
Lilitan kepala : tidak diukur
Imunisasi : D-Tap/Hib + IPV
saiz pampers : L (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + susu formula
kemahiran terkini : boleh meniarap sendiri, gelak besar bila diagah
hobi : suka berdukung dengan sesiapa sahaja, bersiar-siar dengan kereta

Catatan : Saya dihantar pula ke rumah pengasuh baru kerana tok Bab kerap ke hospital. Ibu Sariyah yang juga tidak berapa jauh dari rumah tok adalah pilihan terbaik yang dipilih sendiri olehnya. Ibu juga mempunyai seorang anak yang dipanggil Nabil. Abang Nabil yang berumur 6 tahun akan ke sekolah tiap-tiap hari dan saya tinggal dengan ibu dan ayah. Ayah Nabil bekerja sendiri dan kerap menemani saya di rumah jika dia berkelapangan. Ibu Sariyah secara sambilan mengambil upah menjahit pakaian.

* abaikan jari tangan saya dalam gambar tu...hehe

Friday, July 16, 2010

umur 2 bulan



Umur : 2 bulan
Berat : 6.2 kg
Panjang : tidak diukur
Lilitan kepala : tidak diukur
Imunisasi : D-Tap/Hib + IPV
saiz pampers : M (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + susu formula
kemahiran terkini : menghisap jari tangan, senyum bila diagah
hobi : bermain, minum susu dan berdukung

Catatan : Mama yang agak keletihan setelah seharian bekerja dinasihati papa agar meminum susu bagi menggalakkan penghasilan susu badan. Alhamdulillah, saya yang kuat menyusu lebih puas setelah mama mengamalkan pengambilan susu setiap hari...papa kata kena banyak minum susu, baru cepat besar. Tak sabarnya nak besar :)

Thursday, July 15, 2010

umur 1 bulan



Umur : 1 bulan
Berat : 5 kg
Panjang : 54.5 cm
Lilitan kepala : 36 cm
Imunisasi : Hepatitis B
saiz pampers : S (Drypers)
makanan kegemaran : susu ibu + susu formula
kemahiran terkini : buat bunyi (panggil orang ambil)
hobi : tidur , minum susu dan berdukung

Catatan : atas nasihat nenek Rudeah, mama membelikan saya buaian. Alang2 dah beli, papa syorkan beli yang lengkap dengan mesin elektrik. Segala barang-barang keperluan saya dibeli double. Sebabnya, nak bagi kat pengasuh sekali. Ops...lupa nak cerita pasal pengasuh saya. Papa dan Mama panggil dia Mak Bab. Dia membahasakan dirinya dengan saya sebagai tok Bab. Setiap hari saya dihantar ke rumah tok Bab (yang terletak di Kg Padang Tembak) kerana mama saya seorang career women. Mama dan Papa saya bekerja sebagai guru sekolah di daerah Hilir Perak (Teluk Intan). Erm...tok Bab hanya mempunyai seorang anak. Saya memanggilnya Ucu Nurul. Ucu Nurul bersekolah di SAR Al-Munir dalam darjah 6. Tiap-tiap hari, pulang dari sekolah saya akan bermain-main dengannya sebelum mama dan papa mengambil saya. Tetapi hanya 2 bulan sahaja saya dijaga Tok Bab kerana kesihatannya tidak mengizinkan untuk kami bersama lebih lama...

Wednesday, July 14, 2010

umur 9 hari






Umur : 9 hari
Berat : 3.6 kg
Saiz pampers : Newborn (Petpet)
makanan kegemaran : susu ibu
kemahiran terkini : menjadi loceng pada awal subuh
hobi : tidur siang dan berjaga malam

Catatan : Papa dan Mama menjaga saya bergilir-gilir. Sedikit kelam kabut kerana masing-masing belum biasa lagi dengan kehadiran saya. Mana nak capai itu dan ini. Papa banyak belajar dari Mama tentang apa yang patut dan yang mana perlu didahulukan. Alhamdulillah...saya disayangi dan diberi kasih sayang secukupnya.

Tuesday, July 13, 2010

Keluarga besar saya

Ini keluarga besar saya sebelah papa



Gambar ini diambil pada 1 May 2010. Family Day :)



Sebahagian kecil CICIT moyang...saya pun ada maa..



Inilah moyang saya. Hjh Siti Meriam binti Ismail. umurnya 89 tahun

Ini pula keluarga besar saya sebelah mama



Gambar ni diambil ketika Aidilfitri 1430H/2009 di KKB. Masa ni saya dalam perut mama lagi :)



Ini adalah datuk saya. Hj Daud bin Asah (75 tahun)



Ini pula nenek saya Hjh Rudeah bt Sulaiman (67 tahun)

Monday, July 12, 2010

Pemeriksaan kesihatan

Ketika berusia sebulan, saya dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan. Pemeriksaan sepatutnya dilakukan di KKM Teluk Intan tetapi memandangkan saya berada di Kuala Kubu ketika itu, maka pada pagi 17/12/2009 (antara sebab papa lewat pulang ke Pahang), saya ditemani mama dan papa berjumpa dengan pegawai perubatan. Berat badan saya ketika itu ialah 5 kg .Hari berkenaan juga saya diberi suntikan imunisasi Hepatitis B di punggung. Sedikit berdarah tetapi saya tidak menangis. Suntikan dilakukan oleh jururawat bertugas bernama Rosedah yang juga merupakan x-schoolmate mama di SM3KB.




Kira-kira jam 12.30pm , barulah selesai kerana klinik begitu ramai pengunjung yang datang atas tujuan yang sama. Papa bergegas pulang ke Pahang untuk menziarahi wan di kampung...

Sunday, July 11, 2010

Majlis Marhaban dan Cukur Rambut saya

Majlis diadakan juga pada tarikh yang dipersetujui arwah wan Selamah iaitu pada 26/12/2009. Walaupun ada yang mencadangkan agar tarikh itu ditunda, memandangkan ia adalah hajat terakhir arwah wan, dilangsungkan juga dalam suasana yang sangat sederhana. Majlis yang dihadiri kira-kira 15 orang kawan arwah wan (kawan marhaban) dibekalkan hadiah yang dibungkus sendiri arwah wan (kalau tak silap baju kurung kedah) semasa hayatnya. Beria benar arwah wan ingin melangsungkan majlis walaupun keadaan kesihatan beliau sebelum itu sangat tidak mengizinkan.

Majlis diselubungi dengan rasa pilu dan terharu apabila masing-masing sedikit terkilan majlis tidak sempat dihadiri arwah wan Selamah. Suara memuji baginda Nabi saw menghiasi rumah pusaka peninggalan arwah ayah dan mak papa. Kesedihan yang melanda dihati papa dan mama hanya mampu diterjemahkan melalui airmata yang menitis tanpa disedari.

Wahai Tuhan pemilik segala, Tuhan yang Maha Menghidup dan Maha Mematikan, Engkau singkapkanlah perasaan sedih yang melanda papa, jadikan ia sebaik-baik pengajaran buat kami semua. Tempatkanlah roh-roh mereka yang kami sayangi dikalangan hamba-hambaMu yang beroleh nikmat abadi. Amin ya Rabbal 'Alamin....

Saya sayang wan Selamah :(


* Mama,saya, Miktam Yati (sepupu papa) dan abang Najmi dalam majlis berkenaan


* Gambar saya bersama abang M.Alif Najmi (2 pupu saya) yang turut diraikan dalam majlis tersebut


* Antara tetamu yang hadir


* Wan We menggunting rambut saya

Saturday, July 10, 2010

Belasungkawa

Semasa mama berpantang di Kuala Kubu, atuk Daud mengalami keuzuran dan dihantar papa ke Hospital KKB. Adik-beradik mama seperti pakngah Rahman balik dari Terengganu menziarahi atuk Daud disusuli Paksu, Maklang, Mak Uda, Mak Anjang dan yang lain-lain. Keadaan atuk yang semakin teruk menyebabkan pihak hospital memindahkan atuk Daud dari Hospital KKB ke Hospital Kuala Lumpur. Atuk ditahan di HKL selama 5 hari. Alhamdulillah keadaan atuk stabil dan dibenarkan pulang.

Selang beberapa hari atuk Daud pulang ke rumah, pada 17/12/2009 papa mendapat panggilan dari Pahang yang mengatakan wan Selamah dihantar ke Hospital Temerloh. Bisul di jari tangannya disaran oleh doktor supaya dibedah. Papa yang sememangnya merancang untuk pulang ke Pahang mempercepatkan perjalanan setelah mendapat sms dari makngah Sabrina yang keadaan wan Selamah sangat kritikal. Dengan hati yang tidak keruan, Papa memecut laju ketika pemanduan memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Saya yang dipangku mama disebelah seakan memahami situasi papa, langsung tidak meragam.

Setelah sampai di HoSHAHS, saya tidak dibenarkan untuk menziarahi wan Selamah kerana pengunjung kanak-kanak dibawah umur 12 tahun dilarang memasuki wad. Peraturan itu dikuatkuasakan berikutan menularnya H1N1 ketika itu. Papa segera bergegas menemui wan di tingkat 4. Allahuakbar...keadaan wan Selamah yang ditemani makngah dan acik ketika itu sangat kritikal. Tidak mampu untuk digambarkan di sini perasaan papa ketika itu. Papa mencium lembut dahi wan Selamah seraya membisik kalimah syahadatain ,nafi dan isbat bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad saw itu pesuruhNya.

Beberapa jururawat yang turut mengelilingi katil telahpun beredar menandakan wan Selamah sedikit stabil. Papa menghadiahkan wan Selamah bacaan surah Yaasin dengan suara yang sangat sayu. Selang beberapa hari, pada 22/12/2009 bersamaan 5 Muharram 1431H, Allah telah menjemput wan Selamah kembali menghadapNya. Sesungguhnya, pemergian wan Selamah adalah saat yang paling mendukacitakan dalam hidup papa. Belum puas rasanya untuk bersama, tetapi takdir Allah mendahului segalanya...

Allahummaghfirli zunuubi wa liwaali daiya warhamhuma kama rabbayaani saghira...hanya doa anak yang soleh adalah sebaik-baik peninggalan bagi mereka yang ditinggalkan dunia.

Friday, July 9, 2010

Majlis aqiqah saya

Junjungan Nabi kita pernah bersabda yang bermaksud :

1. " Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerana itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) [Riwayat al-Bukhari]

2. "Setiap anak perlu dipajakkan (dikemaskan) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ke-7 umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya" [Riwayat Ashabus Sunan]

Alhamdulillah, pada 5/12/2009 kenduri aqiqah sempena kelahiran saya selamat dijalankan. Bertempat di rumah atuk Daud di Kuala Kubu Bharu,seekor kambing disembelih dan dibuat jamuan. Atuk Daud telah mengupah kawannya yang juga memiliki kedai makan di pekan KKB untuk memasak daging kambing dengan masakan kurma. Majlis yang sangat sederhana itu dihadiri rakan2 masjid atuk Daud.

Wan Selamah juga hadir bersama-sama wan cu (adik wan Selamah) makngah (kakak papa), pakwe (abang papa), acik (adik papa) dan makcik serta tak ketinggalan sepupu saya abang Ameer dan kakak Sofia. Sesungguhnya itulah kali pertama dan terakhir wan Selamah bersama saya. Kenangan saya didukung oleh wan Selamah walaupun tidak sempat dirakam kamera adalah kenangan terindah saya, papa dan mama. Wahai Tuhan, saya redha tidak sempat bermanja dengan wan Selamah, tetapi temukanlah kami di akhirat nanti agar kami dapat berkasih sayang di sana. Tempatkanlah wan Selamah, Tok Talib dan seluruh kaum kerabat kami tidak kira keluarga di Temerloh @ di KKB ke dalam syurgaMu ya Allah. Amin Ya Rabbal 'Alamin...



* gambar saya dalam majlis berkenaan


* gambar saya bersama makngah Sabrina (kakak papa)

Thursday, July 8, 2010

Ahmad Zaki Senior

Setelah saya dan mama 'menginap' di hospital selama 4 hari, kami discharge pada hari ke-5. Dalam tempoh itu, papa menginap di rumah kawannya di SMA Izzuddin Shah, Ipoh. Kawan papa merupakan guru merangkap warden di sekolah berkenaan. Maka berulang-aliklah papa menjenguk kami 2 beranak setiap hari. Kesempatan menumpang di situ tidak disia-siakan kerana papa menanam uri saya dalam kawasan sekolah berkenaan. Papa sempat menelefon wan Selamah di kampung bertanyakan cara menguruskan uri saya. Setelah selesai, papa memulangkan cangkul yang dipinjam dari rakan kepada kawannya yang kebetulan memiliki nama sama seperti saya...Subhanallah. Ustaz Ahmad Zaki sempat berseloroh kepada papa " Anak hang nanti ngaji sini la ni..." Gurauan itu disambut dengan senyuman dan papa membalas "Insya-Allah.."

Papa memandu dengan berhati-hati, membawa mama dan saya yang kali pertama menaiki kereta (walhal dah 9 bulan dah...hehe). Destinasi yang dituju adalah Teluk Intan. bukan Kuala Kubu Bharu @ Temerloh. Mama dan papa yang sebelum itu sudahpun berbincang hal berkenaan memilih untuk pulang ke Teluk Intan dahulu atas sebab-sebab tertentu. Perjalanan yang biasanya tidak sampai 2 jam melebihi daripada kebiasaannya. Pemanduan berhemah la katakan..Menanti di Teluk Intan ialah Paksu (abang mama) sekeluarga bersama atuk Daud dan nenek Rudeah yang datang dari Sungai Besar. Ketibaan kami disambut dengan gembira dan suasana meriah dengan suara-suara sepupu saya seperti kakak nurul, amirul, zuyin, ziyan, zaim dan zuna yang tidak sabar-sabar berkenalan dengan saya...

Wednesday, July 7, 2010

Berita gembira...

Pada hari kelahiran saya, papa telah menghebahkan berita gembira kepada kaum keluarga dan sanak saudara sebelah Pahang melalui sms. Tetapi orang pertama yang dihubungi adalah wan saya, Allahyarhamah Hjh Selamah bt Abd Karim (al-Fatihah). Berita kehadiran cucu ke-3nya adalah episod baru dalam kehidupannya. Kegembiraan yang teramat, jelas kedengaran di hujung telinga papa, ditenggelami nada tangisan gembira. Papa juga tidak mampu untuk menahan air mata menceritakan kehadiran saya dalam keluarga kami. Syukur kepada Allah swt di atas rahmat dan kasih sayangNya. Suara wan yang bercampur aduk dengan bunyi lelah bertanya keadaan mama samada bersalin normal atau melalui pembedahan. Tangisan yang sudah reda kembali kedengaran apabila wan mengetahui mama terpaksa bersalin secara caesarean. Kemungkinan besar wan teringat tentang hal yang sama terjadi kepadanya ketika melahirkan acik (adik papa). Perbualan mereka diakhiri dengan ucapan salam buat mama yang diwakilkan kepada papa. Terima kasih wahai Tuhan yang memberi peluang kepada kami untuk berkasih sayang. Rasanya tidak sabar untuk mengenali ahli keluarga saya yang lain...

Tuesday, July 6, 2010

Saya dilahirkan


gambar ketika berusia 13 hari :)

Tanggal 19/11/2009 bersamaan 2 Zulhijjah 1430H , Khamis jam 3.05 pm , di KPJ Ipoh Specialist Hospital, saya dilahirkan dengan takdir Allah swt. Sejuta rahmat buat kedua ibu dan bapa saya yang menunggu anak pertama di dalam usia perkahwinan yang mencecah genap 3 tahun. (Mama dan papa berkahwin pada 19/11/2006). Maha Suci Allah yang mengatur segala qadar dan qada' setiap hamba-hambaNya. Dengan berat 3.58kg bersamaan 7.89 pound, saya selamat dilahirkan melalui kaedah pembedahan (caesarean) di operation theatre setelah hampir 6 jam mama cuba untuk bersalin secara normal. Papa yang tidak putus-putus berdoa menanti dengan penuh harapan segala-galanya selamat. Alhamdulillah...tatkala semuanya selesai, kelegaan yang teramat sangat disusuli dengan kalimah Tauhid dibisikkan ke telinga saya. Tatkala itu, saya tidak menangis malah memandang wajah papa dengan pandangan seribu makna. Pandangan yang sangat membahagiakan bagi setiap suami yang baru bergelar bapa. Dalam kesyahduan, papa membisikkan lafaz azan dan iqamat, lembut dan nyaman...perlahan2 masuk ke dalam telinga...terima kasih papa kerana mengajarku mengenali Tuhan buat kali pertama.

*sarung tangan lain sebelah tu kerja papa saya..hehe

Monday, July 5, 2010

Salasilah saya





wahai anak, AHMAD ZAKI bin MOHD FUAD bin HJ TALIB bin TAIB bin BIDIN bin HASSAN, di sini papa nukilkan salasilah keluarga kita. Tanpa mereka tiadalah kita pada hari ini. Moga-moga dengan usaha papa yang kecil ini mendapat keberkatan Allah swt atas niat ingin menjaga silaturrahim kita bersama sanak saudara yang lain. Amin...

* Insya-Allah, sedang diusahakan salasilah saya sebelah keluarga mama