uMuR SaYa

Saturday, July 10, 2010

Belasungkawa

Semasa mama berpantang di Kuala Kubu, atuk Daud mengalami keuzuran dan dihantar papa ke Hospital KKB. Adik-beradik mama seperti pakngah Rahman balik dari Terengganu menziarahi atuk Daud disusuli Paksu, Maklang, Mak Uda, Mak Anjang dan yang lain-lain. Keadaan atuk yang semakin teruk menyebabkan pihak hospital memindahkan atuk Daud dari Hospital KKB ke Hospital Kuala Lumpur. Atuk ditahan di HKL selama 5 hari. Alhamdulillah keadaan atuk stabil dan dibenarkan pulang.

Selang beberapa hari atuk Daud pulang ke rumah, pada 17/12/2009 papa mendapat panggilan dari Pahang yang mengatakan wan Selamah dihantar ke Hospital Temerloh. Bisul di jari tangannya disaran oleh doktor supaya dibedah. Papa yang sememangnya merancang untuk pulang ke Pahang mempercepatkan perjalanan setelah mendapat sms dari makngah Sabrina yang keadaan wan Selamah sangat kritikal. Dengan hati yang tidak keruan, Papa memecut laju ketika pemanduan memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Saya yang dipangku mama disebelah seakan memahami situasi papa, langsung tidak meragam.

Setelah sampai di HoSHAHS, saya tidak dibenarkan untuk menziarahi wan Selamah kerana pengunjung kanak-kanak dibawah umur 12 tahun dilarang memasuki wad. Peraturan itu dikuatkuasakan berikutan menularnya H1N1 ketika itu. Papa segera bergegas menemui wan di tingkat 4. Allahuakbar...keadaan wan Selamah yang ditemani makngah dan acik ketika itu sangat kritikal. Tidak mampu untuk digambarkan di sini perasaan papa ketika itu. Papa mencium lembut dahi wan Selamah seraya membisik kalimah syahadatain ,nafi dan isbat bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad saw itu pesuruhNya.

Beberapa jururawat yang turut mengelilingi katil telahpun beredar menandakan wan Selamah sedikit stabil. Papa menghadiahkan wan Selamah bacaan surah Yaasin dengan suara yang sangat sayu. Selang beberapa hari, pada 22/12/2009 bersamaan 5 Muharram 1431H, Allah telah menjemput wan Selamah kembali menghadapNya. Sesungguhnya, pemergian wan Selamah adalah saat yang paling mendukacitakan dalam hidup papa. Belum puas rasanya untuk bersama, tetapi takdir Allah mendahului segalanya...

Allahummaghfirli zunuubi wa liwaali daiya warhamhuma kama rabbayaani saghira...hanya doa anak yang soleh adalah sebaik-baik peninggalan bagi mereka yang ditinggalkan dunia.

No comments:

Post a Comment